WorldSkills ASEAN (WS ASEAN)
WorldSkills ASEAN yang juga dikenali sebagai ASEAN Skills Competition (ASC) ialah pertandingan kemahiran peringkat serantau yang dianjurkan setiap dua tahun dengan giliran tuan rumah dalam kalangan negara-negara ASEAN. Negara-negara yang terlibat dalam pertandingan ini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Pertandingan ini terbuka kepada belia berumur 22 tahun ke bawah, dengan beberapa kategori tertentu membenarkan penyertaan hingga 25 tahun ke bawah. Ia berfungsi sebagai platform persediaan untuk peserta negara sebelum menyertai pertandingan kemahiran bertaraf dunia iaitu WorldSkills Asia (WSA) dan WorldSkills Competition (WSC).
Pertandingan ini merangkumi pelbagai bidang kemahiran teknikal dan vokasional, antaranya teknologi automotif, elektronik, mekatronik, teknologi maklumat, perhotelan, kulinari, reka bentuk grafik, pendawaian elektrik, pertukangan kayu, dan fesyen teknologi.
Selain menjadi pentas mengasah kemahiran belia, WorldSkills ASEAN juga bertujuan menggalakkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi latihan di rantau ini. Di samping itu, pertandingan ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuhkan daya saing tenaga kerja, dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemahiran dalam pembangunan ekonomi ASEAN.
WorldSkills Asia (WS ASIA)
Penganjuran pertandingan WorldSkills Asia adalah bertujuan untuk mempromosikan kecemerlangan di dalam pembangunan kemahiran dan kompetensi di kalangan negara-negara di Asia. Pertandingan WorldSkills Asia yang pertama telah berlangsung di Abu Dhabi, U.A.E pada tahun 2018.
WorldSkills Asia merupakan pertandingan kemahiran peringkat Asia di mana para belia dari negara-negara rantau Asia bertanding bagi mencari peserta terbaik di dalam bidang masing-masing.
WorldSkills Competition (WSC)
WorldSkills Competition (WSC) merupakan pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia dalam mengiktiraf belia-belia yang berkemahiran tinggi. Pertandingan ini terbuka kepada semua negara yang menjadi ahli WorldSkills International (WSI). Malaysia telah diterima sebagai ahli WSI sejak tahun 1993. Bidang kemahiran dipertandingkan mengikut piawaian kemahiran peringkat dunia. Penyertaan Malaysia dalam WSC bertujuan untuk menanda aras tahap kemahiran belia negara ke arah melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia.

Pakar Negara: Khaljaksa Khalil A.M.N
Peserta Negara: Airul Firham Che Amran